Sunday, October 16, 2011

Sambutan Bulan Bahasa 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Selamat Datang Semua

Seperti kebiasaan semenjak tahun 2009, penulis akan menukil satu artikel di blog ini dalam Bahasa Melayu sempena Sambutan Bulan Bahasa. Jika bulan Ogos sinonim dengan kemerdekaan dan bulan September sinonim dengan sambutan penubuhan Malaysia, bulan Oktober diingati sebagai sambutan bulan bahasa. Kemaafan dipohon kerana artikel ini ditulis lambat daripada biasa. Kesibukan dengan kehidupan bekerjaya dan juga keaktifan portal diraja sehari-hari sedikit sebanyak membuatkan saya terfikir untuk mengubah artikel ini ke halaman lain. Tetapi, seperti tahun-tahun sudah, penuslis memutuskan untuk terus menulis di sini sebagai artikel tunggal dalam Bahasa Melayu di blog ini setiap tahun.

Photobucket

Tema bersempena dengan sambutan bulan bahasa 2011 adalah "Bahasa Jiwa Bangsa".


Bahasa Kebangsaan Malaysia

Baiklah, pastinya ramai mengetahui akan peranan besar Bahasa Melayu ini sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Namun berapa ramai di antara kita yang menggunakan bahasa ini dalam kehidupan seharian mereka? Tidak ramai. Malah, di zaman serba moden ini, ramai di antara kita yang mengaku sebagai rakyat Malaysia, malah ke tahap mengaku sebagai Bangsa Malaysia tidak tahu dan tidak fasih untuk berbahasa dalam Bahasa Melayu. Mengapa ianya berlaku?

Adakah sebab kurangnya kesedaran? ataupun berpunca kepada latar belakang pendidikan dari luar negara? Jawapannya mudah sahaja. Masing-masing tiada keyakinan untuk menggunakan Bahasa Melayu dan menganggap ianya adalah bahasa kampung yang tidak mempunyai apa-apa nilai di luar negara. Percaya atau tidak, ianya benar. Sekarang ini cuba anda pergi ke mana-mana kawasan tidak kira di institusi kerajaan, pengangkutan awam ataupun pusat-pusat kegiatan masyarakat, rata-rata semakin mengagungkan Bahasa Inggeris. Sesuatu yang amat aneh. Bahasa Inggeris diagungkan oleh seseorang yang membenci penjajah Inggeris dan melabel mereka yang bekerja dengan mereka pada zaman penjajahan dahulu sebagai pengampu British.

Tidak perlu dikatakan apa lagi kepada institusi swasta. Masing-masing sekarang ini mengisyaratkan pengambilan pekerja baru mestilah boleh berbahasa mandarin.


Tindakan dan penyelesaian

Photobucket

Walaupun agak terlewat, tapi usaha kerajaan untuk melaksanakan dan mewajibkan Bahasa Melayu di majlis-majlis agensi kerajaan adalah sesuatu yang wajar. Namun, ia diharapkan bukan sahaja kekal sebagai retorik tetap perlulah disertakan sekali dengan penguatkuasaan yang tegas. Dan pihak-pihak berwajib juga perlulah melaksanakan apa yang terdaya untuk mendaulatkan Bahasa yang tercinta ini. Ia juga perlulah mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti rakyat biasa, golongan karyawan, seni, ahli politik dan lain-lain. Benda ini cukup mudah, untuk mendaulatkan Bahasa Melayu kita perlu bertutur dalam bahasa Melayu.

Begitu juga dinasihatkan kepada syarikat-syarikat swasta supaya tahu meletakkan nilai di antara apa bahasa yang penting dan perlu diutamakan. Mungkin boleh difahami jika ada pihak swasta mahu menggunakan Bahasa Inggeris, namun mengapa bahasa Mandarin diletakkan sebagai satu pra-syarat untuk kemasukan kerja? Adakah kita sekarang berada di Tanah Besar China? Ini suatu isu yang bukan lagi kecil kepada sebuah negara yang sudah berusia 54 tahun.


Bahasa Jiwa Bangsa.

Sudah ramai pihak yang cuba untuk mewujudkan satu identiti Bangsa Malaysia di bumi tercinta ini. Tetapi usaha ini kelihatan seperti tidak pernah berjaya dan tiada sambutan. Kenapa? kerana mereka tidak memperjuangkan benda asas kepada usaha tersebut iaitu persamaan dan identiti kepada Bangsa Malaysia. Apa lagi yang lebih mudah daripada memperjuangkan Bangsa Malaysia dan bertutur dalam Bahasa Melayu? Tidak perlu dipersoalkan lagi kerana ini ibarat 'Sudah terang lagi bersuluh', mereka yang tidak boleh nampak kenyataan ini sudah pastilah sudah buta mata hati kerana tidak lagi boleh melihat kebenaran di hadapan mereka sendiri.

Bahasa Melayu adalah bahasa yang dahulunya membentuk sebuah tamadun yang disegani di Asia Tenggara. Kenapa kita perlu anda rasa tidak yakin kepada bahasa sendiri? Jika kita lihat, semua negara yang meningkat maju adalah atas hasil usaha mereka sendiri dan yang penting, Bahasa Ibunda sendiri. Britain, Perancis, German, Sepanyol, China, Korea, Jepun dan lain-lain adalah contoh yang jelas. Mereka tidak perlu Bahasa lain untuk memajukan diri sendiri. Sekarang cuba anda lihat, di antara India yang menggunakan bahasa Inggeris dan China yang menggunakan Bahasa Mandarin, siapa lebih maju?

Photobucket

Oleh itu, usahlah rasa terhina anda menggunakan Bahasa Melayu. Ia bahasa kampung? Bahasa ini dipertuturkan oleh lebih 200 juta orang di dunia ini. Kalau bahasa ini tidak menjadi bahasa ilmu, ia bukannya salah bahasa. Ia adalah salah kita sendiri, ilmu yang didapati dalam bahasa lain tidak diterjemah dalam bahasa melayu. Bagaimana Malaysia hendak maju? Dan sampai bila kita perlu bergantung pada Bahasa lain untuk memajukan diri sendiri?

Photobucket

Tepuk dada, tanyalah selera. Prof Wu Zongyu dari China adalah orang yang bertanggungjawab mengembangkan Bahasa Melayu di tanah besar China, minatnya dalam Bahasa Melayu dalam masa 55 tahun sangat mendalam sehingga beliau dianugerahkan Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa sempena Sambutan Bulan Bahasa 2011. Jika beliau, seorang daripada China mempunyai minat sebegitu, apatah lagi kita di Malaysia, yang memang dibesarkan dalam persekitaran berbahasa Melayu

Sekian, sama-samalah kita mendaulatkan Bahasa Melayu
Salam

0 comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Blog Followers